SATU hari, ketika Rasulullah SAW sedang berkumpul dengan para sahabatnya berhampiran Kaabah, seorang lelaki asing melintas di hadapan mereka. Setelah lelaki itu berlalu, Rasullullah berkata kepada para sahabatnya, “Dialah ahli syurga.” Rasullullah mengulanginya sebanyak tiga kali.
Berikutan kenyataan Rasulullah itu, timbul perasaan ingin tahu di kalangan para sahabat terutamanya Abdullah bin Umar yang memang dikenali sebagai seorang yang sangat kritikal.
Dia lalu bertanya kepada Rasulullah “Ya, Rasulullah, mengapa engkau katakan itu kepada kami, padahal selama ini kami tidak pernah mengenalinya sebagai sahabatmu? Sedangkan terhadap kami sendiri yang selalu mendampingimu engkau tidak pernah mengatakan hal itu?”
Rasulullah menjawab soalan Abdullah dengan penuh diplomasi dan bijak. Rasulullah berkata, ‘‘Jika engkau ingin tahu tentang apa yang aku katakan, silakan engkau tanyakan sendiri kepadanya.”
Abdullah yang mendengar jawapan Rasulullah itu semakin teruja untuk mengetahui apa istimewanya lelaki tersebut sehingga dia dikatakan sebagai ahli syurga.
Berikutan itu Abdullah berkunjung ke rumah lelaki berkenaan bagi mendapatkan jawapannya.
‘‘Semalam sewaktu engkau melintas di hadapan kami, Rasulullah mengatakan bahawa engkau seorang ahli syurga. Apa yang menjadi rahsiamu sehingga Rasulullah begitu memuliakanmu?'' Lelaki itu tersenyum, kemudian menjawab, “Sesungguhnya aku tidak pernah melakukan apa-apa. Aku bahkan tidak memiliki kekayaan apa-apa. Baik ilmu mahupun harta yang mampu aku sedekahkan, apa yang aku miliki hanyalah kecintaan.
‘‘Kecintaan kepada Allah, kepada Rasulullah dan kepada sesama manusia. Dan setiap malam menjelang tidur, aku selalu berusaha menguatkan rasa cinta itu, sekali gus berusaha menghilangkan perasaan benci yang ada kepada sesiapa saja. Bahkan terhadap orang-orang kafir sekalipun.”
Memelihara perasaan benci dan marah, bererti menyimpan perasaan ego. Wujudnya perasaan benci, bererti adanya sikap untuk menyalahkan orang yang dibenci itu dan menyalahkan orang lain bererti menganggap diri kita sahaja yang betul.
Kita tidak harus lupa bahawa sikap itulah yang ditunjukkan oleh syaitan ketika penciptaan Nabi Adam a.s.
Kisah tersebut memberikan gambaran kepada kita, bahawa perasaan benci, bukan hanya mengakibatkan fitnah dan permusuhan, tetapi juga dapat menimbulkan penyakit batin yang sangat buruk, sekali gus menjauhkan diri dari syurga yang menjadi idaman setiap mukmin.
Saturday, August 1, 2009
Jangan mencaci sesama Islam
Posted by AM at 10:34 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment